Hi korang!!! Selamat datang ke blog aku. Aku harap korang baca entri aku dengan tenang dan santai. Selamat Membaca!!!

disabled right-click

Bola,Kuiz,atau Kedua-duanya


Penggera di telefon bimbit sudah berbunyi nyaring mengalunkan lagu Grenade nyanyian seorang penyanyi barat yang bernama Bruno Mars. Namun begitu,pemiliknya seperti tidur mati,tidak mahu bangkit daripada tidur dan melaksanakan tugas hakikinya sebagai hamba-Nya.

            Bunyi bising yang berlarutan membuatkan nenek pemilik telefon bimbit itu terpaksa masuk untuk mengejutkan pemilik telefon bimbit tersebut.

            “Faruq,bangun. Sudah pukul berapa ini. Kamu tahu,orang yang tidur selepas subuh rezekinya pendek?” Bebelan nenek yang hanya mampu dibalas dengan anggukan oleh Faruq.

            Sudah,cepat bangun. Nenek sudah tidak tahan dengan penggera kamu. Sakit telinga nenek,kamu tahu?” Sambung nenek setelah  tiada respon yang diberi Faruq.

            Faruq dengan lemah melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia hanya mandi kerbau pada pagi itu akibat kelekaannya sendiri. Pada malam sebelumnya,Faruq telah sibuk mengkaji pita rakaman pasukan lawan sempena Kejohanan Bola Sepak Bawah 17 tahun peringkat negeri Johor yang menjelang tiba.
            Faruq merupakan seorang daripada empat pemain yang diimport dari skuad bawah 15 tahun berdasarkan kelebihan masing-masing. Kelebihan Faruq ialah dia mampu menganalisis perlawanan dengan  singkat dan dengan kelebihan inilah pasukan bawah 15 tahun SMK Tun Perak telah berjaya menjadi johan Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 tahun Peringkat Kebangsaan buat julung-julung kali.

            Selesai solat Subuh dan mengenakan pakaian SMART atau pakaian sukan sekolah,Faruq bergegas turun ke dapur dengan harapan agar datuknya belum turun ke ladang kelapa sawitnya.

            “Nenek,atuk sudah ke ladang ?” Tanya Faruq penuh harap.

            “Ya,Atuk sudah ke ladang waktu kamu masih tidur.Fazira pergi sekolah dengan atuk tadi. Jadi,kamu terpaksa menunggang basikal pagi ini.” Ucap nenek selamba.

            “Kalau begitu baik aku keluar sekarang.” Faruq bermonolog.

            Faruq hanya bersalam dengan neneknya kerana kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia ketika Faruq berusia 10 tahun dan Fazira berumur lapan tahun.Bapanya,Haji Umar dan ibunya,Hajah Helwa meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika pulang dari bekerja di ibu kota.

            Usai bersalam dengan nenek, Faruq terus menyarungkan kasut sekolah dan menunggang basikal pada kayuhan maksimum yang mampu ditanggung otot kakinya walaupun berdepan kemungkinan mendapat kecederaan otot kaki.

“Syukur………..Sampai juga aku tepat pada masanya.” Faruq bermonolog.

Masa pertama pada pagi itu ialah Pendidikan Jasmani. Seperti biasa,pelajar lelaki bermain bola sepak dan pelajar perempuan bermain bola jaring. Namun begitu,ramai pelajar kelas gabungan 3 KAA,3 KAB dan 3KAC duduk di tepi padang untuk melihat perlawanan bola sepak.

Selesai memanaskan badan,kedua-dua pasukan bersedia di posisi masing-masing. Wisel dibunyikan oleh pengadil tidak bertauliah yang juga merupakan pelajar kelas gabungan tersebut menandakan bermulanya perlawanan.

Perlawanan yang amat sengit dan menarik.Sejurus mendapat bola,Faruq merencana perlawanan,melakukan Step over ala Cristiano Ronaldo,mengkucar-kacirkan bahagian pertahanan dan seterusnya melakukan percubaan dari luar kotak penalti dan gol!  Jaringan menarik dari luar kotak penalti dan penjaga gol hanya kaku melihat jaringan Faruq.

Kedudukan berubah kepada 1-0. Ketika perlawanan hendak bermula semula,Faruq terdengar namanya diseru.

“Faruq,cepat pergi bilik guru,Puan Rozita panggil!” Jerit Shakira dari luar padang sebelum bersama segerombolan penonton di tepi padang.

Sepantas itu juga pelbagai persoalan timbul di fikiran Faruq dan persoalan tersebut mula menyesakkan fikirannya.

“Kenapa Puan Rozita panggil aku?”

“Aku ada buat apa-apa kesalahan kepada dia sampai dia mahu berjumpa aku?”

Walaupun begitu,tiada jawapan yang berjaya diperoleh Faruq sehingga dia tiba di Bilik Guru. Faruq berjalan ke meja Puan Rozita untuk mencari jawapan kepada persoalan yang menyesakkan fikirannya ketika itu.

“Assalamualaikum,cikgu.” Sapa Faruq setibanya di meja Puan Rozita.

“Waalaikumussalam,Faruq, Sampai juga kamu. Penat saya tunggu,kamu tahu?” Jawab Puan Rozita.

“Maaf,cikgu. Saya baru tahu cikgu panggil saya.”

“Tak mengapa. Biar saya berterus terang. Saya mahu kamu menjadi wakil sekolah dalam Sayembara Bahasa Melayu Peringkat negeri Johor.” Arah Puan Rozita tegas.

Serentak itu Faruq mangalami satu perasaan baru. Satu perasaan seakan memberontak, dan engkar arahan yang baru diterimanya.

“Masuk Sayembara?Jangan buat lawak..” Hatinya berkata sendiri sebagai tanda mahu memberontak.

Entah kanapa keadaan di Bilik Guru pada masa itu sunyi sepi bagai malaikat lalu.Mungkin memberikan ruang untuk Faruq berfikir. Tidak lama selepas itu, Faruq bersuara.

“Sebelum saya berikan keputusan saya kepada cikgu,saya inginkan alasan kenapa saya dipilih dan bukankah ada pelajar lain yang lebih baik daripada saya?”

Puan Rozita terkejut mendengar ucapan Faruq yang lain daripada pelajar biasa memaksanya memberi alasan yang paling munasabah.

“Sebelum saya memilih kamu,saya telah meneliti karangan setiap pelajar Tingkatan tiga bersama-sama guru yang lain dan akhirnya kami memilih kamu kerana kamu pandai mengolah ayat dan setiap ayat mempunyai maksud yang mendalam yang jarang-jarang dapat dilakukan oleh seorang pelajar Tingkatan tiga. Selain itu,bunga-bunga bahasa yang kamu gunakan amat bertepatan dengan ayat. Adakah itu cukup sebagai alasan untuk kamu?”Ucap Puan Rozita secara panjang lebar.

“Baiklah,tapi mungkin saya terpaksa menolak tawaran cikgu.”

“Kenapa pula begitu?”

“Saya ada komitmen lain cikgu. Jika tarikh Sayembara tidak bertindih dengan tarikh Kejohanan Bola Sepak Bawah 17,saya akan mempertimbangkannya dan saya rasa mungkin sukar kerana tempat kejohanan ini ialah di SMK Tun Mamat,Ledang.”

“Oh,begitu. Bila tarikh Kejohanan Bola Sepak bakal diadakan?”

“Dua bulan dari sekarang,cikgu.”

“Alamak. Tarikh Sayembara pun dua bulan dari sekarang! Malangnya nasib. Walau apapun saya amat berharap kamu dapat menjadi wakil sekolah. Kamu tahu,sekolah kita tidak pernah menang Sayembara ini dan saya amat berharap dengan tiket tuan rumah, SMK Tun Perak mampu menjadi juara!”

Mendengar perkhabaran itu,Faruq berasa tidak senang hati.Dia tidak mahu maruah sekolah tercalar akibat sikap egoisnya. Faruq berjanji akan memikirkan tawaran itu semasaknya.Setelah itu Faruq diarahkan pulang ke kelas kerana waktu pelajaran kedua telah bermula lima minit yang lalu.

Setibanya Faruq di rumah,dia terbaring di atas sofa di ruang tamu. Sungguh tidak berdaya untuk ke biliknya selepas peristiwa yang berlaku siang tadi. Sedang Faruq melayan perasaan di sofa,secara tiba-tiba nenek muncul di muka pintu,mungkin baru pulang dari ladang sayur-sayuran untuk di jual ke seluruh Malaysia.

Nenek yang pelik melihat keadaan Faruq terus bertanyakan khabar Faruq di sekolah.

“Faruq,kenapa ini.Ada apa-apa perkara yang berlaku di sekolah ke?”

“Oh,nenek.Duduklah.” Ucap Faruq dalam keadaan tergesa-gesa bangun untuk memberi ruang kepada nenek untuk duduk.

Faruq memberitahu perkara yang berlaku secara panjang lebar kepada nenek. Nenek mendengar dengan tekun segala penceritaan Faruq tanpa mencelah agar penceritaan Faruq tidak terputus.

Setelah selesai Faruq bercerita,nenek mula memberikan ceramahnya.

“Faruq,nenek tahu kamu seorang yang hebat. Jika tidak,masakan cikgu di sekolah inginkan kamu. Kamu tahu,semakin hebat seseorang itu,maka semakin besarlah tanggungjawabnya. Nenek setuju jika kamu terima tawaran itu kerana orang yang menguasai masa,dia pasti menguasai dunia.”

“Tapi nenek,….” Faruq ingin membantah tetapi dicelah neneknya.

“Tak ada tapi-tapi. Nenek mahu kamu fikir yang terbaik untuk diri kamu,faham?” Tegas nada suara nenek.

            Selepas dua bulan…

            “Faruq! Kamu bergerak ke hadapan sedikit!” Jerit Cikgu Hailes dari tepi padang ketika SMK Tun Perak bertemu High School Muar dalam perlawanan peringkat kumpulan pada Kejohanan Bola Sepak Bawah 17 Tahun peringkat Kebangsaan.

            Kedudukan pada masa itu,High School mendahului dengan 1-0 dan perlawanan belum memasuki separuh masa kedua. Dalam perlawanan ini,Faruq berada di posisi sayap kanan dan bukannya tengah menyerang. Hal ini kerana posisi tengah menyerang telah diisi oleh Rudy dan Ali.

            Rudy merupakan pemain import seperti Faruq manakala Ali merupakan kapten pasukan dan juga merupakan orang paling tua pasukan Tun Perak.

            Tidak lama kemudian,Ali mendapat bola dan cuba membawanya ke kawasan penalti. Namun,seorang pertahanan High School telah membantutkan usaha Ali dengan membentes Ali sehingga menyebabkan Ali terjatuh dan terpaksa di usung keluar.

            Tun Perak mendapat sepakan percuma pada jarak 25 meter dari pintu gol. Pada mulanya Rudy ingin mengambil sepakan tersebut tetapi dibatalkan pada saat akhir. Oleh itu,sepakan itu di ambil Faruq. Sepakan Faruq menemui Rudy dan serta merta di tanduk Rudy untuk kedudukan menjadi 1-1. Para penyokong bersorak gembira.

            Memasuki separuh masa kedua, perlawanan semakin menarik dengan Tun Perak terus mengasak. Akhirnya, Tun Perak berjaya mendapatkan gol juga hasil gerakan Faruq yang membawa bola ke tengah dan dengan pantas memberikan bola kepada penyerang yang terus menyepak bola ke gawang. Perlawanan tamat dengan keputusan Tun Perak menang ke atas High School dengan keputusan 2-1.

            Sejurus tamat perlawanan,Faruq terus keluar padang menuju ke arah Puan Rozita yang akan membawa Faruq ke sekolah untuk acara kuiz Sayembara Bahasa Melayu.Faruq telah bersetuju dan menerima pandangan neneknya agar menyertai kedua-dua acara.

            Sebenarnya Faruq telah di minta untuk menyertai pertandingan menulis esei,tetapi Faruq menolak.Dia mahu menyertai pertandingan kuiz Bahasa Melayu yang pada fikirannya lebih mudah. Puan Rozita terpaksa akur dengan keputusan Faruq.

            “Faruq,saya mahu awak berehat dahulu. Saya tahu awak penat,lagipun pertandingan hanya akan bermula selepas Zohor.” Kata Puan Rozita. Faruq akur dengan arahan Puan Rozita dan serta merta matanya dirapatkan.

            Setibanya di SMK Tun Perak,Faruq terus menuju ke tandas untuk membersihkan diri dan menukar pakaian kepada uniform sekolah. Selesai bersalin pakaian,Faruq duduk di kantin lalu membaca buku sambil menunggu Puan Rozita.

            “Faruq,cepat ke sini. Pertandingan akan bermula sebentar lagi.” Panggil Puan Rozita agar Faruq cepat menuju ke dewan sekolah.

            SMK Tun Perak diwakili oleh Faruq,Aini dan Aliuddin atau lebih mesra di panggil Awi. Mereka akan bertanding dalam menentukan tatabahasa yang betul dan sebabnya.

            Pertandingan kuiz ini di sertai oleh 20 buah sekolah seluruh negeri Johor yang mana setiap daerah menghantar dua wakil dan tuan rumah layak secara automatik.

Pusingan pertama bermula dengan 20 buah sekolah berentap untuk layak ke 15 terbaik. Seterusnya,sekolah yang layak ke 15 terbaik akan berentap dalam pusingan kedua untuk layak ke 8 terbaik. Akhir sekali,sekolah yang layak ke 8 terbaik akan berehat dua hari sebelum berentap untuk menentukan johan dalam pusingan akhir. Johan pertandingan kuiz akan mewakili negeri ke Sayembara Bahasa Melayu peringkat kebangsaan.

            Pusingan pertama berakhir dan SMK Tun Perak berjaya layak ke 15 terbaik dengan mata terkumpul sebanyak 123 mata dan berada pada kedudukan ketiga di belakang SMK Tun Mamat dan SMK Convent.

            Pujian melangit diberikan Puan Rozita kepada wakil Tun Perak yang berjaya layak ke pusingan kedua. Selepas itu,Faruq boleh berehat kerana kedua-dua acara yang disertainya berjaya.

Baru sebentar tadi Faruq mendapat berita bahawa pasukan bola sepak telah berjaya layak ke suku akhir selepas menewaskan tuan rumah,SMK Tun Mamat dengan jaringan 1-0 dan menewaskan SMK Jementah dengan jaringan 2-0.

Keesokkan harinya,Faruq ke sekolah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mengharumkan nama sekolahnya. Sejurus tiba di sekolah,Cikgu Hailes menemui Faruq.

“Faruq,hari ini saya beri kamu kelonggaran untuk acara kuiz itu. Saya harap kamu menang lagi.”Kata Cikgu Hailes.

“Tapi cikgu,kenapa? Acara kuiz hari ini hanya bermula pada pukul 12. Saya rasa sempat untuk saya ke kejohanan.”

“Memang sempat. Tapi saya tidak mahu kamu terlalu penat menjelang separuh akhir. Jika kita layak ke separuh akhir,kamu akan bergandingan dengan Rudy kerana Ali sudah pulih dan Rusyaidi akan mengambil peranan kamu.”

“Baiklah cikgu. Saya doakan yang terbaik untuk pasukan kita.”

“Terima kasih Faruq.”

“Sama-sama cikgu”

Faruq terus ke perpustakaan untuk membaca sepintas lalu kerana permainan bahasa sudah menjadi seperti alat permainannya kerana neneknya amat mementingkan bahasa dalam hidup. Oleh itu,tidak hairan jika Faruq dan Fazira selalu mendapat markah tertinggi dalam bahasa.

Sedang Faruq sibuk membaca,muncul Aini dan Awi di situ.

“Eh,Faruqlah! Kau tak pergi perlawanan bola ke?”Tanya Awi.

“Mestilah tak pergi. Bukankah kita ada pertandingan pusingan kedua? Mesti Cikgu Hailes bagi kelonggaran.”Aini berkata kepada Awi.

“Sudah,kamu berdua. Duduk sini.” Kata Faruq sambil mempersilakan Awi dan Aini duduk.

“Soalan terakhir,huraikan sama ada perkataan paling perlu diikuti dengan perkataan sekali ataupun tidak.” Soal juru acara pertandingan.

“Ya,SMK Tun Perak. Sila berikan jawapan anda.” Kata juru acara pertandingan setelah melihat Faruq mengangkat tangan. Faruq bangun lantas berkata.

“Kata adjektif yang menggunakan perkataan paling tidak perlu diikuti dengan perkataan sekali kerana kedua-dua perkataan tersebut membawa darjah penghabisan.” Jawab Faruq yakin.

Keadaan senyap seketika memberi laluan kepada para hakim berbincang.Tidak lama selepas itu,juru acara pertandingan berkata.

“Jawapan yang diberikan oleh SMK Tun Perak tepat! Tahniah,SMK Tun Perak mara ke pusingan akhir dengan 200 mata. Majlis bersurai”

Semua orang di dalam dewan berpusu-pusu keluar selepas saingan sengit antara SMK Tun Perak dan SMK Tun Mamat. Kelihatan Puan Rozita berlari terkedek-kedek ke arah Faruq,Aini dan Awi. Riak di mukanya menunjukkan kegembiraan.

“Tahniah kalian kerana telah mengharumkan nama SMK Tun Perak. Jom ke kantin,saya belanja.”Pelawa Puan Rozita. Faruq,Aini dan Awi menuruti langkah Puan Rozita ke kantin.

“Saya harap kalian akan berjaya dalam pusingan seterusnya. Rehat dua hari ini,apa aktiviti yang akan kita lakukan?”Tanya Puan Rozita yang lebih menjurus kepada Aini dan Awi.

“Saya rasa kita tak perlu buat apa-apa. Sekadar merehatkan minda.” Ucap Faruq berhikmah.

“Kau memang,otak selamba. Lagipun kau ada perlawanan bola sepak,bolehlah kau cakap macam itu.”Bangkang Awi.

“Cikgu,apa kata kalau dua hari itu kita lihat perlawanan Faruq. Sehari separuh akhir,sehari akhir.” Aini memberi cadangan.

Perlawanan akhir antara SMK Tun Perak menentang SMK Dato Seri Amar Diraja berlangsung tepat jam 9 pagi. Semua orang penting SMK Tun Perak berada di SMK Tun Mamat untuk menyaksikan perlawanan ini.

 SMK Tun Perak mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan SMK Jalan Mengkibol dengan keputusan 2-0.

Sebelum perlawanan bermula,Cikgu Hailes telah membuat beberapa keputusan mengejut dengan memberikan lilitan kapten kepada Faruq selepas kecederaan yang dialami Ali yang di usung keluar sekali lagi pada perlawanan menentang SMK Jalan Mengkibol.

Perlawanan bermula dan Tun Perak menguasai perlawanan dan Faruq bersama Rudy mengetuai orkestra Tun Perak. Tiba di kawasan penalti lawan,Faruq memberi bola kepada Rudy untuk menjaringkan gol tetapi dengan mudah bola di tangkis penjaga gol lawan.

Keadaan tidak berubah sehingga separuh masa kedua. Faruq dengan pantas menganalisis perlawanan dan dengan pantas meluahkan keputusan analisa kepada seluruh pasukan. Tiba-tiba,Amar Diraja mendapat sepakan percuma pada jarak 35 meter dari pintu gol. Faruq serta merta dapat melihat arah sepakan Amar Diraja lalu mengarahkan pertahanan mengawal seorang pemain lawan.

“Jaga nombor 9!”

Selepas sepakan diambil,ternyata pemain nombor 9 lawan akan menerima bola. Melihat keadaan tersebut,pertahanan Tun Perak memintas bola itu dengan pantas dan memberikan bola kepada Faruq. Faruq kembali merencana perlawanan. Apabila berada di dua per tiga padang,Faruq terus menggelecek pertahanan dan meluru ke kawasan penalti dan melakukan sepakan kaki kanan yang tajam ke penjuru gol dan kedudukan berubah 1-0.

Penjaga gol hanya mampu melihat bola yang telah bolos itu sementara Tun Perak meraikan jaringan Faruq itu yang dianggap sebagai gol menarik kejohanan. Tamat perlawanan,Tun Perak menewaskan SMK Dato Seri Amar Di Raja dengan keputusan 1-0.

Pada upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMK Tun Perak,Tuan Haji Ahmad bin Othman,Faruq telah menerima ucapan tahniah oleh Tuan Pengetua.Selain itu,Faruq telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada perlawanan tersebut.

“Soalan terakhir,soalan penentu kemenangan. Sila dengar dengan teliti. Huraikan dua jenis klausa beserta contohnya”Soal juru acara pertandingan.

Kelihatan tujuh dari lapan wakil sekolah mengangkat tangan. Namun,Aini lebih pantas mengangkat tangan berbanding yang lain. Serentak itu Faruq bertanya.

“Kau tahu ke jawapannya apa?”

“Tak. Aku tau kau tau jawapannya.”Aini mencebik kepada Faruq yang disusuli dengan ketawa Awi yang hampir tidak kedengaran.

“Ya,Tun Perak sekali lagi. Sila berikan jawapan anda.”

Faruq bangun dan memberikan jawapannya.

“Klausa terbahagi kepada dua iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas.Klausa bebas ialah klausa yang dapat berdiri sendiri sebagai ayat lengkap. Sebagai contohnya,Murid itu gembira.Manakala klausa tak bebas pula ialah klausa yang tidak dapat berdiri sendiri kerana terdapat kata hubung pada klausa tersebut. Sebagai contohnya,kerana dia berjaya dalam peperiksaan. Sekian.”Hujah Faruq.

Setelah para hakim berbincang,juru acara pertandingan berkata.

“Tahniah SMK Tun Perak,jawapan buku teks. Dengan ini,saya sebagai juru acara pertandingan mengumumkan markah yang diperoleh tiga kumpulan terbaik.SMK Tun Perak,121 mata.SMKA Segamat,119 mata,dan Maahad Muar,94 mata. Sehubungan itu,sukacita dimaklumkan bahawa SMK Tun Perak menjadi johan pertandingan kuiz bagi Sayembara Bahasa Melayu peringkat negeri Johor.”

Air mata kegembiraan terpancar pada wajah guru-guru Bahasa Melayu SMK Tun Perak yang berada di dewan itu. Pada upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua,berlaku kejutan yang tidak disangka-sangka. Para atlet dan Cikgu Hailes mara ke pentas untuk meraikan kejayaan Faruq dalam dua acara iaitu kuiz dan bola sepak.

Selain itu,Puan Rozita menjemput nenek Faruq bagi sama-sama meraikan kejayaan Faruq. Faruq tidak menjangka perkara ini akan berlaku. Dia terus memeluk neneknya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Perbuatannya itu mendapat tepukan gemuruh oleh semua yang berada di dalam dewan.

Faruq mengucapkan terima kasih kepada nenek yang menggalakkannya agar  menyertai kedua-dua acara. Seterusnya,Faruq membimbing neneknya ke pentas untuk mengambil gambar kenangan bersama atlet pasukan bola sepak, Cikgu Hailes,Aini,Awi dan Puan Rozita.

Tamat…

::: thanx 4 reading my entry! :::

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...